Sunday, 14 December 2014

HASIL TEMURAMAH BERSAMA KETUA KAMPUNG DAN AJK

PROFIL:
  1. Ketua Kampung.
  • En. Mahmad bin Ismail
  • Berumur 64 tahun
  • Berasal dari Kelantan
  • Menjawat jawatan sebagai ketua kampung selama 3 tahun
  • Menetap di Kampung Laksama sejak tahun 1988 lagi
  • Bekerja sebagai tentera dan sekarang sudah pencen
  • PANDANGAN : En Mahmad memberikan pandangan bahawa penduduk disini mempunyai hubungan silaturrahim yang kuat. Pada pandangan kami, En Mahmad menjalankan tugas beliau sebagai ketua kampung dengan amanah. Dan hubungan beliau dengan penduduk kampung juga terjalin dengan erat dan beliau mementingkan kesejahteraan penduduk ini. Selain itu, kaum lain juga dapat menerima budaya, cara hidup, pemakanan dan sebagainya.
    2.    Jawatan Kuasa Ketua Kampung Laksamana

  •  En. Vijayakrishnan Subramaniam
  • Berumur 55 tahun
  •  Berasal daripada Kuala Lumpur
  •  Merupakan ahli Pasukan Keselamatan dan Kejiranan (Community Policing)
  • Menetap di Kampung Laksamana sejak 20 tahun yang lalu
  • Bekerja di sektor swasta
  • PANDANGAN: Beliau menyifatkan orang Islam ini mempunyai identiti yang tersendiri. Dimana beliau juga amat menyenangi dengan budaya orang Islam malah beliau juga mempunyai kenalan dikalangan orang Islam berbanding dengan kaum India sendiri. Ini kerana bagi beliau sendiri kaum India merupakan kaum yang sukar untuk ditafsir jika dibandingkan dengan kaum Melayu. Kefahaman beliau terhadap Islam adalah agama Islam ini agama yang mudah dan tidak ada diskriminasi terhadap individu lain. Dalam kehidupan seharian juga, beliau banyak bergaul dengan kaum Melayu. Di kawasan perumahan juga, beliau lebih gemar untuk keluar berbincang dan bersembang dengan orang Melayu. Bagi mereka walaupun berlainan agama dan bangsa namun mereka tetap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.   

3.     Jawatan Kuasa Kampung Laksamana

  •  En. Yong Ah Chai
  • Berumur 56 tahun
  • Berasal daripada Selangor
  • Menetap di Kampung Laksamana sejak lahir
  • Berkerja sendiri sebagai peniaga
  • PANDANGAN : Apabila ditanyakan tentang pandangan beliau terhadap agama Islam, beliau boleh menerima budaya agama Islam dan budaya lain. Beliau juga menghadiri upacara kematian agama lain terutamanya pernah juga beliau menghadiri upacara kematian dan majlis tahlil penduduk yang beragama Islam disitu. Walaupun berbeza agama dan kepercayaan, beliau tetap hormat akan budaya dan kepercayaan agama lain. Selain itu, beliau juga ada sifat ingin tahu tentang agama Islam. Disebabkan itulah, beliau berminat untuk menghadiri di majlis seperti itu. Malah ketika umat Islam berpuasa, beliau juga mengenalpasti tentang kenapa umat islam berpuas. Dalam kehidupan seharian juga, bergaul dengan kaum Melayu dan India juga menjadi rutin harian dan duduk semeja untuk bertukar pendapat.  

4.     Setiusaha Untuk Kampung Laksamana

  • En. Mohd Rafiq bin Hamidunnah
  • Berumur 37 tahun
  • Berasal daripada Kelantan
  • Menetap di Kampung Laksamana selama 22 tahun
  • Menjalankan perniagaan "ONE STOP PRINTING CENTER"
  • PANDANGAN : Bagi pandangan beliau pula, kehidupan bermasyarakat di kalangan penduduk pelbagai agama dan kaum ini tidak mendatangkan masalah sekiranya setiap individu itu memahami dan menerima budaya lain. Beliau juga mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada kaum melayu dan India. Pada masa yang sama juga, beliau mengambil tahu tentang budaya kaum India dan tahu tentang adat orang India sekiranya seorang bujang India itu meninggal dunia, bujang itu akan dikahwinkan dahulu sebelum dikebumikan atau dibakar. 

Bersama ketua kampung dan JKKK Kampung Laksamana



     1.  LATAR BELAKANG KAMPUNG LAKSAMANA
  • Berdasarkan sesi temuramah dengan ketua kampung, Kampung Laksamana merupakan tempat yang mempunyai kawasan perlombongan bijih. Pada asalnya, penduduk Kampung Laksamana ini berasal daripada Hulu Klang, dimana dahulunya penduduk asal ini berpindah ke tempat perpindahan dan wujudnya Kampung Laksamana ini. Kampung ini mempunyai komuniti yang terdiri daripada percampuran bangsa. Di kampung ini juga terdapat slogan yang tersendiri iaitu "Laksamanaku Muhibah" atau lebih dikenali sebagai perkampungan majmuk. Kampung Laksamana ini hanya berhampiran dengan Gua Batu Caves dimana tempat itu merupakan tempat beribadat bagi kaum agama Hindu. 
     2.  KOMUNITI YANG WUJUD DI KAMPUNG INI
  • Di kampung ini, komuniti yang tinggal disini terdiri daripada bangsa Melayu sebanyak 60%, India sebanyak 35%, Cina sebanyak 30%. Lain-lain komuniti seperti Singh dan Warganegara Bangladesh juga terdapat disini tetapi dalam kuantiti yang agak sedikit. Secara umumnya, bangsa Melayu yang memonoli kawasan ini. Jumlah keseluruhan penduduk di kampung ini seramai 40,000 orang pada tahun 2014.
     3.  KEPERCAYAAN YANG WUJUD DI KAMPUNG INI
  • Agama Islam (Melayu). informasi yang kami dapat adalah kemudahan tempat beribadat  bagi setiap agama di kawasan ini tidak ada sepenuhnya. Namun begitu, di kawasan ini terdapat empat buah surau bagi memudahkan umat Islam mendirikan solat berjemaah. Bagi penduduk yang menganut agama Hindu (India), kuil mereka hanya ada di kawasan kampung lain dan di kawasan perumahan ini tidak disediakan kuil. Bagi penduduk yang beragama Buddha(Cina) dan Kristian, tempat beribadat seperti tokong atau gereja tidak ada di kawasan ini. Kebiasaanya penduduk Cina pergi ke Selayang untuk ke tokong mereka. Kemudahan seperti ini tidak disediakan kerana kekurangan kawasan untuk dibina dan kampung ini juga mempunyai keluasan yang agak kecil.
     4.  HUBUNGAN ETNIK YANG TERBENTUK DI KAMPUNG INI
  • Berdasarkan daripada pemerhatian kami dan juga informasi yang kami dapat daripada temu ramah ini, ianya menunjukkan sifat toleransi antara penduduk di kampung ini yang terjalin walaupun mempunyai perbezaan antara agama, kaum dan budaya. seperti mana kami juga berasa gembira dan senang hati dengan layanan yang diberikan kepada kami ketika sesi temu ramah ini dijalankan. Penduduk disini amat menghormati sesama sendiri lebih-lebih lagi ketika kami ingin meminta sedikit masa mereka untuk membantu kami dalam tugasan ini. penduduk disini juga sering mengadakan aktiviti bersama seperti contoh gotong-royong, Program Rumah Tercantik dan melakukan senaman Aerobik. Aktiviti ini boleh dikatakan sebagai aktiviti tahunan mereka. 
  • Hubungan etnik yang seterusnya adalah menerima budaya bangsa lain dengan ikhlas. ketika musim perayaan setiap bangsa, pasti akan ada majlis sambutan perayaan tersebut. yang menariknya adalah penduduk India disini pernah mengadakan sambutan perayaan Hari Raya di kampung ini bagi meraikan kaum Melayu. mereka memberikan sambutan yang hangat kepada setiap perayaan.  yang pastinya setiap majlis yang diadakan akan dibantu dan disokong oleh penduduk setempat. penduduk di kampung ini mengamalkan sifat muhibah dan disebabkan oleh itu wujudnya slogan Kampung Laksamana ini.  
    5.  ADAKAH TERDAPAT PENGARUH PEMODENAN ATAU NILAI BARAT PADA                    KOMUNITI DI KAMPUNG INI ?
  • Pengaruh pemodenan atau nilai barat juga pernah berlaku di kampung ini tetapi ianya boleh dikawal dengan baik. Malah disebabkan kesucian dan kemuliaan agama Islam ini telah menyebabkan salah seorang penduduk kampung ini yang asalnya bukan beragama Islam telah memeluk agama Islam. Namun begitu, ada juga segelintir daripada penduduk kampung ini yang terpengaruh dengan nilai kebaratan dari segi budaya pemakaian dan juga terdapat beberapa nilai pemodenan yang diserapkan di kalangan penduduk kampung ini. Malah masalah gejala sosial seperti pergaduhan di antara gangster di kalangan kaum India yang terjadi di kampung ini telah di banteras oleh pihak polis bagi mengelakkan masalah ini berlarutan dan menjejaskan keselamatan penduduk disini. Perkara itu menjadi normal dengan arus teknologi yang berkembang pesat pada masa sekarang ini. Walaupun mempunyai nilai pemodenan, penduduk disini masih mengamalkan budaya yang menggambarkan identiti setiap bangsa. Dengan adanya nilai pemodenan tersebut, ramai penduduk yang semakin cekap dan bersifat daya saing dalam memajukan diri.  

     6.  KEKUATAN YANG DIMILIKI OLEH KOMUNITI INI
  • Penduduk di kampung ini mempunyai kekuatan dari segi keutuhan semangat hidup bermasyarkat dimana ianya dapat dilihat dengan sifat muhibah. Apabila ditanyakan tentang permasalahan yang pernah terjadi di kampung ini yang melibatkan perbezaan kaum, jawapannya adalah tiada pergaduhan yang berlaku yang berkaitan isu perkauman. Malah mereka lebih bersikap mengembleng tenaga bersama-sama. Apa sahaja aktiviti yang dijalankan adalah tanggungjawab bersama. 
  • Selain itu, mereka juga masih mengamalkan Rukun Tetangga atau dikenali sebagai Pasukan Keselamatan dan Kejiranan (PKK) dimana mereka bersama-sama membuat rondaan di waktu malam bagi memastikan keselamatan penduduk di kampung ini terjaga. Pasukan ini ditubuhkan oleh kerajaan Negeri Selangor. Nilai murni yang terdapat di kalangan penduduk ini amatlah sukar untuk  dijumpai pada masa sekarang. Namun ianya amat beruntung sekiranya nilai-nilai murni ini masih wujud di kalangan rakyat Malaysia yang hidup di setiap pelusuk negeri. Ianya akan menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang mengamalkan kehidupan bermasyarakat yang merupakan keinginan fitrah manusia.   

7.  MASALAH YANG DIHADAPI 

    i) Politik dan pentadbiran 
  • Politik di kampung ini diwakili oleh beberapa buah parti yang terdiri daripada PAS, UMNO, PKR, MIC dan MCA. Kebanyakan penduduk disini majoriti memilih parti PAS diikuti dengan UMNO, PKR dan MCA. Bagi parti MIC, dikawasan ini ianya kurang mendapat sambutan dan mempunyai undian paling terendah. Namun jika dilihat dari segi populasi penduduk di kampung ini, kaum India berada di peringkat yang kedua selepas kaum Melayu. Masalah ini mungkin disebabkan oleh kaum India di kawasan ini lebih memilih parti lain. Dari segi pentadbiran di kawasan ini, ianya boleh dianggap sebagai pentadbiran yang teratur kerana setiap kaum iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai wakil dalam jawatankuasa kampung. Ini lebih memudahkan setiap kaum itu berurusan dan mudah untuk mengutarakan pendapat kepada wakil mereka dan dibawa ke pihak atasan. Secara umumnya, politik dan pentadbiran di kampung ini tidak mempunyai masalah yang boleh membawa kepada perpecahan kaum.  

  ii) Ekonomi
  • Penduduk di kampung ini menjalankan ekonomi yang terdiri daripada pelbagai sektor. Bagi kaum Melayu, mereka bekerja di sektor kerajaan dan swasta. Ada juga dikalangan mereka yang membuka perniagaan sendiri seperti contoh En. Mohd Rafiq bin Hamidunnah. Bagi kaum India pula, mereka bekerja di sektor swasta yang kebanyakkannya bekerja di Selayang Utama, Kuala Lumpur dan juga Shah Alam. Selain itu, ada segelintir daripada mereka yang membuka perniagaan menjual bunga segar di kawasan berhampiran rumah. Bagi kaum Cina juga, mereka memang dikenali dengan kaum yang menjana ekonomi dengan menjalankan perniagaan. Kebanyakkan daripada mereka membuka kedai menjual perabot, kedai runcit dan juga berniaga di pasar. Disini kami mendapati setiap kaum mempunyai cara tersendiri untuk menjana ekonomi mereka. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, aktiviti perniagaan ini dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Tetapi sekarang kaum Melayu sudah mula menceburi dalam bidang perniagaan ini walaupun secara kecil-kecilan. Apa yang penting sekarang ini adalah kita sebagai kaum Melayu perlulah ada sikap untuk berjaya dan memajukan diri. Ini kerana ramai kaum lain yang memandang kaum Melayu yang pada asalnya merupakan pemilik Tanah Melayu ini namun semakin hari ianya kelihatan seperti kaum Melayu ini sendiri yang menumpang di tanah asing.

iii) Kepercayaan dan komitmen beragama
  • Dalam kehidupan masyarakat pelbagai agama dan berbilang bangsa ini, sudah pasti ianya mewujudkan pelbagai kepercayaan dan cara individu itu mengamalkan agama mereka. Setiap penduduk di kawasan ini harus menghormati agama lain tanpa ada niat untuk memburuk-burukkan agama lain. Berdasarkan daripada sesi temu ramah itu, kami mendapati segelintir penduduk disini menghormati agama lain tetapi mereka tidak pernah ingin tahu tentang agama lain. Dengan itu, kami telah menerangkan serba sedikit tentang kemuliaan agama Islam agar mereka lebih memahami dan mempunyai sedikit pengetahuan tentang agama Allah ini. Kami menggunakan cara yang lembut supaya mereka tidak salah faham tentang tugasan kami ini. 

iv) Nilai yang dipegang dan diamalkan
  • Nilai yang diamalkan di kalangan penduduk ini adalah saling bekerjasama dan hormat-menghormati. Namun begitu, bagi golongan yang bekerja dan terlalu sibuk sepanjang hari ini, mereka kurang masa untuk membudayakan hidup bermasyarakat ini. Mereka juga lebih menjurus kepada kehidupan yang anti sosial dimana kurang kurang bercampur gaul dengan masyarakat sekeliling.

v) Pendidikan dan undang-undang
  • Pendidikan yang disalurkan oleh penduduk disini mempunyai sistem yang sistematik dimana di kawasan ini juga terdapat Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Tamil.  Ini menunjukkan pengaruh nilai barat juga terjadi disebabkan oleh pembinaan sekolah pelbagai kaum ini. Apa yang boleh dilihat, pendidikan asas agama Islam semakin hari semakin luntur dan berjaya dihapuskan dan dimanipulasi disebalik peningkatan sistem pendidikan yang sistematik ini. 

HARI MELAWAT KAMPUNG LAKSAMANA


  • Pada hari khamis 27 november 2014, setelah tamat kuliah ekonomi kami bergegas ke fasa 3 untuk membeli beberapa buah tangan untuk diberikan kepada ketua kampung dan penduduk di sana sebagai tanda penghargaan di atas kesudian menerima kehadiran kami untuk membuat kajian berkaitan kursus ctu di situ.
  • Pada pukul 1.15 tengahari , kami berangkat menuju ke Kampung Laksamana dengan niat supaya perjalanan kami dipermudahkan kerana kami tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan itu.

Dalam perjalanan menuju ke Kampung Laksamana


  • Perjalanan kami dari Puncak Alam ke Kampung Laksamana mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Kami terus ke rumah ketua kampung Kampung Laksamana yang senang untuk dicari dimana di rumahnya terdapat bendera Malaysia dan meriam buluh di kedua belah pintu pagar rumahnya sebagai mercu tanda.
  • Kami disambut dengan ramah oleh ketua kampung En. Mahmad bin Ismail dan ahli jawatankuasa Kampung Laksamana En. Vijayakrishnan Subramaniam.
  • Sementara menunggu ahli jawatankuasa yang lain untuk hadir bagi sesi temuramah ini, kami dihidangkan dengan kuih muih dan air teh. Kami bersuai kenal diantara satu sama lain dahulu untuk mengurangkan rasa kejanggalan. Kami bertanyakan tentang asal usul kewujudan penempatan di Kampung Laksamana ini. Malah mereka sempat berkongsi bagaimana mereka berhijrah ke kampung ini.
  • Setelah beberapa minit kemudian, dua ahli jawatankuasa yang lain datang memenuhi ruang rumah En. Mahmad iaitu En. Yong Ah Chai dan En. Mohd Rafiq bin Hamidunnah. Kemudian, kami terus memulakan sesi temuramah memandangkan langit sudah kelihatan mendung berarak kelabu.
  • Kunjungan kami ke rumah penduduk kampung diiringi oleh kesemua ajk berserta ketua kampung ini bagi memudahkan kami beriteraksi dengan penduduk Kampung Laksamana itu sendiri.
  • Kami bertanyakan padangan mereka berkenaan hidup bermasyarakat di kalangan penduduk berbilang bangsa dan agama. Namun, kami lebih mengfokuskan persepsi mereka terhadap agama Islam dan kaum Melayu.

HASIL TEMURAMAH BERSAMA PENDUDUK

  • HASIL TEMURAMAH BERSAMA PENDUDUK KAMPUNG

  • 1.   Rumah pertama yang kami kunjungi adalah rumah penduduk berbangsa cina iaitu Pn. Yen Mey yang berusia 36 tahun. Beliau menganut agama Budhha dan sudah menetap di Kampung Laksamana sejak dari kecil lagi.
    o    Pn. Yen Mey menyatakan bahawa kehidupan bermasyarakat di kampung ini adalah memuaskan. Walaupun terdapat rasa tidak puas hati namun ia tidak berkait rapat dengan isu agama ataupun bangsa. Perasaan tidak puas hati itu timbul akibat daripada ganguan persekitaran yang bising dengan bunyi kenderaan yang lalu lalang di tengah malam. Tetapi ia tidak menjejaskan perhubungan antara mereka.
    o    Dari segi agama, Pn. Yen Mey memberitahu bahawa beliau tidak mencampuri urusan agama bangsa lain. Beliau hanya prihatin untuk mengambil tahu tentang agama sendiri sahaja dan tidak mempunyai rasa ingin tahu tentang agama islam.
    Selesai sesi temuramah bersama Pn Yen Mey
    2.  Rumah kedua yang kami kunjungi adalah rumah penduduk berbangsa Cina iaitu Pn. Tan Nmyet Yan yang berusia 74 tahun. Beliau menganut agama Budhha dan sudah menetap di Kampung Laksamana hampir 30 tahun. Kami juga bertanyakan cucu beliau iaitu Cik Lee Sueh Yang yang berusia 17 tahun yang menetap di situ sejak dari kecil.
    o     Pn. Tan Nmyet Yan menyatakan bahawa beliau tiada sebarang masalah berkaitan hidup bermasyarakat di kawasan penduduk yang berbilang kaum di kampung ini.Malah beliau merasakan sudah seperti satu keluarga kerana beliau telah tinggal lama di sini. Perasaan tidak puas hati selalunya timbul terhadap bangsa sendiri berbanding bangsa lain kerana mereka mempunyai budaya yang sama tetapi analogi yang berlainan tentang sesuatu perkara melibatkan bangsa Cina.
    o    Dari segi agama, Pn. Tan Nmyet Yan memandang agama Islam sebagai salah satu agama majaroti yang dianuti oleh  penduduk di situ. Beliau menghormati agama Islam sebagaimana umat Islam menghormati agama beliau.
    o    Cik Lee Sueh Yang menyatakan bahawa perpaduan antara kaum sangat erat di kampung ini. Malah, di sekolah beliau juga perpaduan di lihat erat di kalangan pelajar berbilang bangsa dimana ianya tidak menunjukkan sebarang diskriminasai antara bangsa Melayu ataupun India.
    o    Dari segi agama, Cik Lee Sueh Yang pernah bertanyakan tentang keistimewaan agama Islam kepada rakan rakannya di sekolah. Bagi beliau keistimewaan agama Islam ini boleh dilihat dari pelbagai sudut seperti mendirikan solat 5 waktu dan berpuasa.
    Selesai temu ramah bersama sepasang nenek dan cucu
    3.  Rumah ketiga yang kami kunjungi adalah rumah penduduk berbangsa India iaitu Pn. Ruba berusia 58 tahun berserta suami En. Venagopal yang berusia 63 tahun. Mereka menganut agama Hindu dan telah menetap di Kampung Laksamana ini selama 30 tahun.
    o    Pn. Ruba menyatakan bahawa masyarakat di sini hidup hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga saling berkerjasama dalam menangani sesuatu masalah walaupun mereka berbeza agama dan budaya. Mereka amat mengambil berat antara satu sama lain. Apabila ditanya berkaitan isu perkauman yang terjadi di Malaysia ini, beliau memberikan pandangan bahawa individu berkenaan tidak mempunyai rasa sensitiviti tentang budaya masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Beliau merasakan individu berkenaan mempunyai akal yang cetek kerana hidup bermasyarakat ini memerlukan kita saling hormat menghormati walaupun kita berbeza agama, warna kulit dan ideologi.
    o    Dari segi agama, Pn. Ruba menyatakan bahawa setiap bangsa mempunyai kepercayaan masing masing. Sebagai seseorang yang mempunyai agama tersendiri, beliau percaya bahawa setiap kepercayaan itu perlulah dihormati. Beliau menyatakan bahawa kita tidak boleh mencela agama lain hanya kerana perbezaan kepercayaan seseorang itu.
    Bersama Pn Ruba
    4.  Rumah keempat yang kami kunjungi adalah rumah penduduk berbangsa Melayu iaitu En. Muhammad Izrin serta isteri Pn. Fatriwati berusia 57 tahun. Mereka menganut agama Islam dan telah menetap di Kampung Laksamana selama lebih 30 tahun.
    o    En. Muhammad Izrin menyatakan bahawa penduduk disini kenal antara satu sama lain kerana majoriti mereka telah menetap lama disini. Beliau yang mengusahakan perniagaan kedai makan di kawasan berhampiran rumahnya berkata pelanggan beliau bukan sahaja daripada bangsa melayu malah bangsa lain juga akan makan dan melepak di gerai beliau. Masalah ketidakpuasan antara kaum juga di katakan tiada kerana bagi beliau setiap permasalahan dapat diselesaikan jika setiap individu tidak mencampuri urusan pribadi masing masing. Walaupun begitu, beliau mendapat sambutan kerana tiada sifat diskriminasi terhadapa kaum lain. Malah, kebanyakkan rumah penduduk bangsa lain seperti Cina dan India akan memelihara anjing sebagai haiwan untuk melindungi rumah mereka daripada pencuri dan sebagainya. Bagaimanapun, anjing tidak dilihat sebagai satu isu kepada bangsa Melayu kerana anjing tersebut di kawal dengan rapi oleh penduduk kampung ini. Tetapi bunyian anjing menyalak itu sedikit mengganggu ketenteraman di kampung ini. 
    o    Dari segi agama, En. Muhammad Izrin berkata agama lain tidak pernah bersifat prejudis terhadap agama Islam kerana mereka amat menghormati agama Islam walaupun kedengaran azan pada setiap 5 waktu, terdapat perayaan seperti hari raya korban dan sebagainya dijalankan mereka amat memahami. 
    5.  Rumah kelima yang kami kunjungi ialah rumah penduduk berbangsa India iaitu Pn. Nirmala, suami En. Kenkatash yang berusia 35 tahun serta anak mereka adik Nietyasri berusia 7 tahun. Mereka menganut agama Hindu dan telah menginap di Kampung Laksamana selama 3 tahun.
    o    Pn. Nirmala menyatakan bahawa mereka tiada masalah hidup bermasyarakat di kampung yang berbilang kaum ini. Beliau sangat menghormati setiap budaya bangsa lain. Jika terdapat majlis atau perayaan sesuatu bangsa yang lain, Pn. Nirmala tidak akan segan silu untuk meraikan majlis itu bersama-sama. Beliau yang mempunyai kawan baik daripada bangsa Cina berkata, beliau pernah menghadiri majlis perkahwinan bangsa Melayu dan Cina malah majlis Hari Raya yang dianjurkan komuniti di sini akan dihadiri beliau pada setiap tahun. Dengan kehadiran beliau ke setiap perayaan bangsa lain, beliau dapat mengenali dengan lebih rapat budaya budaya yang di amalkan oleh penduduk di sini.
    o   Dari segi agama, Pn. Nirmala berkata bahawa setiap agama mempunyai hak yang sama dari segi kepercayaan. Beliau merasakan tiada isu untuk mempertikaikan tentang isu agama Islam. Bagi beliau setiap individu itu tidak perlu untuk mencampuri dan mempertikaikan urusan agama masing masing. Setiap individu perlu taat terhadap agama masing masing dengan cara tersendiri.
    o    Bagi adik Nietyasri pula yangsebelum ini bersekolah di sekolah kebangsaan (jenis cina) berkata bahawa dia kurang bercampur gaul dengan pelajar Melayu tetapi mempunyai ramai kawan yang berbangsa Cina. Namun, dia tidak mempunyai masalah untuk bergaul dan bermain dengan bangsa Melayu. Ini kerana, beliau masih kecil dan masih tidak mengerti erti perbezaan antara bangsa dan agama.
    Bersama Pn Nirmala dan anaknya






































PERTUKARAN TEMUJANJI


  • Pada hari khamis 20 november 2014, ketua kampung Kampung Laksamana telah membuat pertukaran hari temujanji yang sepatutnya dilakukan pada hari sabtu 22 november ke hari khamis 27 november 2014.
  • Ini kerana pada hari berkenanaan, ketua kampung Kampung Laksamana mempunyai urusan kerja lain yang tidak dapat dielakkan.
  • Oleh itu, kami masih mempunyai masa untuk membuat persiapan untuk temujanji yang akan datang ini.

LOKASI YANG DIPILIH UNTUK SESI TEMU RAMAH


  • Selepas mengenalpasti pasti lokasi yang hendak kami pegi, kami menghadapai beberapa masalah dimana pada asalnya kami ingin mengadakan sesi temu ramah di Sungai Bertih (Klang), tetapi disebabkan oleh ketiadaan maklumat dari segi nombor telefon ketua kampung  tersebut maka kami telah menukar lokasi ke Kampung Laksamana yang terletak di Batu Caves.  
  • Akhirnya, dengan informasi yang ada kami menelefon ketua kampung Kampung Laksamana untuk mengadakan temujanji ke kampung beliau.
  • Atas perbincangan beberapa kali melalui telefon, kami telah membuat temujanji untuk melwat Kampung Laksamana pada hari sabtu 22 november 2014.

Saturday, 18 October 2014

Pencarian Lokasi

Date: 9 October 2014
Time: 12.00-4.00 pm


  • Hari ini semasa menyiapkan tugasan subjek entrepreneur di Sungai Bertih(Klang), kami melihat terdapatnya kaum berbilang bangsa di kawasan tersebut. Ini secara tidak langsung melahirkan idea untuk memilih lokasi ini. Ini kerana jarak lokasi ini lebih dekat puncak alam berbanding dengan lokasi sebelumnya yang terletak di Kuala Lumpur.
  • Berdasarkan pemerhatian kami, komuniti ini menetap secara berkelompok mengikut kaum masing-masing. Walaubagaimanapun, kami dapat melihat sikap perpaduan yang terjalin antara mereka adalah baik.


Perbincangan Tajuk

Date: 2 October 2014
Time: 4.10-6.00 pm


  • Hari ini kami telah membincangkan idea dan mencari tajuk yang sesuai untuk kajian ini. Dari perbincangan ini, kami telah memilih tajuk "Apakah Perspektif Non-Muslim Terhadap Muslim Di Kawasan Ini?".
  • Kami perlu menyelidik isu isu terbesar yang wujud di kalangan komuniti ini serta mencari idea untuk mengubah perspektif tersebut.
  • Antara manfaat dalam kajian ini ialah ianya dapat menghilangkan sikap prejudis di antara semua kaum. Selain itu, topik ini dipilih kerana sifat ingin tahu bagaimana pandangan mereka terhadap kaum yang berbeza agama.Ini kerana berdasarkan perspektif islam, masyarakat atau kumpulan manusia yang terdiri daripada Qawm, ummah, syu'ub dan qaba'il ada dinyatakan di dalam al-quran. Dimana masyarakat di dorong oleh melahirkan perubahan perubahan positalam masyarakat.
  • Tips yang diberi oleh ustazah adalah supaya kami menghubungkan kerja projek atau kajian ini dengan kandungan yang terdapat di dalam bab satu.

Pembentangan Idea

DATE: 1 October 2014
TIME: 4.10-6.00 pm



  • Hari ini kami membincangkan tentang lokasi untuk kajian ini. Terdapat beberapa lokasi yang di pertimbangkan , antaranya adalah di Gombak, Selayang, Klang dan Batu Caves. Lokasi ini dipilih berdasarkan populasi kaum yang menetap di situ yang merangkumi kaum melayu, cina, india dan bumiputera.
  • Ini antara senarai persoalan yang kami ingin selidik antaranya adalah 
  1. masalah ekonomi yang dimonopoli oleh kaum yang terdapat di tempat kajian.
  2. masalah kepercayaan yang boleh mewujudkan jurang perbezaan antara agama.
  3. masalah pendidikan di kalangan komuniti itu.
  4. pandangan komuniti terhadap politik yang wujud di tempat tersebut. 



Monday, 29 September 2014

DATE: 25 Sept 2014
TIME: 4.10-6.00 pm

  • Hari ini ustazah menerangkan tentang projek berkaitan hubungan etnik yang perlu diselidik di kalangan komuniti daripada pelbagai bangsa dan agama yang merangkumi golongan kanak-kanak, belia dan orang tua. Projek ini adalah untuk mengenal pasti kepentingan ekonomi daripada setiap kaum yang dapat disalurkan untuk pembangunan negara. 
  • Tambahan lagi, kami perlu mengenal pasti beberapa perkara dalam komuniti tersebut :
         i) Latar belakang tempat, kepercayaan, sejarah dan budaya.
        ii) Bentuk-bentuk etnik yang wujud 
       iii) Terdapat pengaruh permodenan atau nilai Barat pada komuniti tersebut.
       iv) Kekuatan yang dimiliki oleh komuniti tersebut 
        v) Masalah yang dihadapi oleh komuniti tersebut 
         * Melibatkan dari semua aspek seperti politik dan pentadbiran, ekonomi, kepercayaan dan komitmen beragama, nilai yang dipegang dan diamalkan, pendidikan, dan undang-undang.

  • Semua aktiviti yang dibuat boleh diperoleh melalui pemerhatian, dan temu bual bersama ketua kampung, golongan belia dan sebagainya. Selain itu, kami juga perlu menyumbangkan khidmat sebagai mahasiswa untuk membantu komuniti tersebut.